TAN SRI DATO’ ABD. JALIL BIN HJ. HASSAN

Pengerusi JKF Yang Pertama (1970 hingga 1990)
Latarbelakang Diri Dan Pendidikan
 
Tan Sri Dato’ Abd. Jalil Bin Hj. Hassandilahirkan pada 10 Januari 1912M(Syawal1332H) di No. 7 Kg. Serom, Muar, Johor Darul Takzim. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Johor dan kemudiannya pada tahun 1925 hingga 1927 beliau menyambung pengajian di Royal Inggeris School Singapura. Beliau kemudiannya menyambung pengajian ke Maahad Al-Azhari Bil Jamik Al-Azhar As Syarif Fil Kasam Al Ibtidai’ dan Sanawi di Kaherah, Mesir (1930-1938). Kemudian beliau menyambung pengajian di Kuliyah Usuluddin, Universiti Al-Azhar dan berjaya memperolehi Syahadah Al-A’Liyah Kuliah Usuluddin Al-Azhar pada tahun 1944. Akibat peperangan Jepun dengan Malaya, beliau tidak dapat pulang ke tanahair dan tertahan  di Mesir sehingga Disember 1946,
 
Kerjaya Dan Sumbangan Kepada Masyarakat
 
Kerjaya awal beliau bermula pada tahun 1947 apabila dilantik sebagai Penolong Mufti Johor dan jawatan tersebut dipegang selama hampir 15 tahun. Pada tahun 1962 beliau dilantik sebagai Mufti Johor selama 3 tahun.Pada September 1964,  beliau memohon untuk meletakkan jawatan sebagai  Mufti Johor kerana diperlukan sebagai Mudir Kolej Islam Klang menggantikan Dr. Mohd Abd. Rauf dari Mesir yang habis tempoh pada awal Oktober 1964. 

Tan Sri Dato’ Abd. Jalil Bin Hj. Hassan adalah antara orang yang berusaha keras  menjadikan Kolej Islam sebagai Universiti Islam dan akhirnya pada tahun 1970 Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan dengan persetujuan Menteri Pelajaran Malaysia dan Majlis Kolej Islam dinaik taraf sebagai Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan.
 
Beliau dilantik sebagai Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia sejak bulan April 1970 hingga akhir bulan Disember 1972 dan menjadi Ketua Jabatan Usuluddin dan Falsafah pada awal tahun 1973 hingga April 1978. Beliau bersara dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada Mei 1978. Beliau juga telah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Tertinggi Rabitah al-Alam al-Islami di Mekah sejak tahun 1965 hingga akhir hayat.
 
Antara buku-buku dan risalah yang telah ditulis oleh beliau ialah Falsafah dan pengetahuan Islam (Dewan Bahasa dan Pustaka), Isra’ dan Mikraj sejajar dengan kemajuan sains, Orang-orang Islam Turkistan di belakang Tabir Besi, Cara menentukan anak bulan dengan cara Ru’yah dan hisab.
 
Tan Sri Dato’ Abd. Jalil Bin Hj. Hassantelah kembali ke Rahmatullah pada 21 Mei 1990. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.