Blog Fatwa Malaysia

Kepentingan Mempelajari Ilmu Aqidah

ISU:

Mutakhir ini ramai yang mula mempelajari, berkongsi dan menyebarkan apa yang dipelajari berkaitan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tidak kurang ramai yang menolak usaha berkongsi mahupun menyampaikan apa yang dipelajari kepada orang awam. Di sini saya ingin bertanya akan kepentingan mempelajari dan berkongsi ilmu aqidah dan ilmu agama yang lain?
 
PENJELASAN:
 
Ilmu akidah merupakan ilmu yang paling penting dalam Islam kerana ia merupakan paksi kepada agama. Sebab itulah ia juga dinamakan Ilmu Usuluddin yang bermaksud asas kepada agama. Ini kerana ilmu akidah menjelaskan tentang asas kepercayaan dalam Islam yang menjadi kerangka terhadap keseluruhan agama seperti kepercayaan kepada Allah, kenabian, Hari Akhirat dan lain-lain.
 
Asas akidah ini penting sebagai paksi kepada dimensi lain dalam agama Islam seperti ibadah dan akhlak. Dengan kata lain sekiranya akidah bermasalah maka ibadah dan akhlak tidak akan bermakna. Atas kepentingan ini ilmu akidah termasuk dalam kelompok ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap individu muslim tanpa kecuali.
 
Untuk berkongsi ilmu akidah dengan yang lain ia adalah satu perkara yang amat digalakkan kerana sebagai satu kebenaran, akidah Islam harus disebarkan sebagaimana yang dilakukan oleh para Rasul dalam hadis Nabi yang bermaksud “sampaikan dariku walaupun satu ayat.” Namun sebelum menyebarkannya harus dipastikan bahawa kandungannya benar dan berdasarkan sumber-sumber ilmu yang benar. Ini juga berdasarkan saranan al-Qur’an, “Jangan kamu berpijak kepada sesuatu yang kamu tiada ilmu tentangnya” (al-Isra’ 17:36).
 
Yang paling baik ialah setiap perkara yang ingin disebarkan dirujuk dahulu kebenarannya kepada yang lebih mempunyai ilmu. Ini amat penting dalam suasana maklumat mudah disebarkan sekarang ini. Kebimbangannya ialah walaupun dengan niat yang baik, kemungkinan yang kita sebarkan itu ialah kekeliruan dan bukannya ilmu yang benar sehingga menimbulkan kecelaruan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
 
Wallahu a’lam.