Perubatan

Hukum Menggunakan Kanta ICL (Implantable Collamer Lens) Untuk Rawatan Mata

Tarikh Keputusan: 
5 May, 2012
Tarikh Mula Muzakarah: 
4 May, 2012
Tarikh Akhir Muzakarah: 
6 May, 2012
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-99

Keputusan

 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan Kanta ICL (Implantable Collamer Lens) Untuk Rawatan Mata. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam amat menekankan penjagaan kesihatan tubuh badan sebagai salah satu prinsip dalam مقاصد شريعة. Walaubagaimanapun, penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit adalah dilarang berdasarkan umumnya hadith Rasulullah s.a.w.:
 
عن اَبِي الدَّرْدَاء رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (إِنَّ اللهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاء، فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ)
(رواه أبو داود)
 
Maksudnya:
Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram.
 
Namun begitu, dalam keadaan-keadaan dharurah atau terpaksa, terdapat kelonggaran yang diberikan dalam pengharaman ini demi untuk menghilangkan kesakitan dari tubuh badan.
 

Dalam isu rawatan ICL ini, memandangkan penggunaannya bukan dalam keadaan dharurah dan umat Islam mempunyai banyak alternatif lain yang tidak meragukan dari aspek Syarak, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum menggunakan kanta ICL (Implantable Collamer Lens) untuk rawatan mata yang diperbuat dari bahan kolagen khinzir adalah tidak diharuskan.

 

Hukum Pelaksanaan Program Pemberian Kondom, Jarum dan Methadone Percuma Sebagai Langkah Pencegahan Jangkitan HIV/AIDS

Tarikh: 
8 Sep, 2005
Bil. PKS: 
Kali Ke-52
(a)  Pemberian kondom percuma untuk tujuanpencegahan HIV/AIDS hanya boleh diberi kepada isteri penagih dadah untuk melindungi dirinya dan anak-anaknya daripada jangkitan virus tersebut atas dasar prinsip ‘dar’u al-mafasid muqaddam ala jalbi al-masolih’.
 
(b)  Program pertukaran jarum dan alat suntikan secara percuma kepada penagih dadah tegar adalah tidak harus atas alasan sad al-zarai’i.
 

HUKUM UBAT TRADISIONAL CINA CHUAN LONG NATURE FOODS

Tarikh: 
4 Mar, 1994
Bil. PKS: 
Kali Ke-10
 
Mesyuarat Panel Kajian Syariah kali ke-10 yang bersidang pada 4 Mac 1994 telah bersetuju memutuskan bahawa:
i.  Hukum ubat tradisional Cina Chuan Long adalah diharuskan bagi yang berbentuk tablet sahaja.
 
ii. Keluaran siap seperti tablet hendaklah bebas dari alkohol dan tiada bahan-bahan campuran lain yang tidak halal digunakan.
 
 

PENGGUNAAN PIL ANTI HAID DI BULAN PUASA

Tarikh: 
18 May, 1991
Bil. PKS: 
Kali Pertama
 
Mesyuarat Panel Kajian Syariah kali ke-1yang bersidang pada 18 Mei 1991 telah bersetuju memutuskan bahawa:
 
Penggunaan pil anti haid di bulan puasa boleh digunakan oleh wanita Islam dengan syarat mereka telah mendapat nasihat doktor perubatan yang boleh dipercayai bahawa ubat tersebut tidak memudaratkan.

Hukum Menggunakan Rawatan Terapi Larva

Tarikh Keputusan: 
15 Mar, 2012
Keputusan: 
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang  yang bersidang pada 14-15 Mac 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan Rawatan Terapi Larva. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:
 
Mesyuarat menegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang bahkan menggalakkan umat Islam mencari penawar kepada penyakit yang dialami sepertimana sabda Rasulullah SAW ketika ditanya oleh para sahabat:

Maksudnya: Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah berdosa jika kami tidak merawat (penyakit kami)?” Rasulullah bersabda, “Dapatkanlah rawatan wahai hamba-hamba Allah! Sesungguhnya Allah Yang Maha Suci tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan dijadikan bersama-samanya penawar, melainkan penyakit tua”. (Riwayat Ibn Majah)

Penegasan ini juga adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan bahawa : “Kemudaratan perlu dihilangkan” (الضرر يزال).

Mesyuarat berpandangan bahawa asal sesuatu haiwan itu adalah suci melainkan babi dan anjing yang jelas hukumnya najis. Pandangan ini adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menetapkan bahawa:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةِ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيْلُ عَلَى التَّحْرِيْمِ

Maksudnya: “Hukum asal dalam semua perkara (kecuali ibadat dan hubungan lelaki dan perempuan) adalah harus dilakukan kecuali terdapat dalil yang menyatakannya sebagai haram.”

Mesyuarat juga berpandangan bahawa hukum bagi bangkai haiwan yang tidak mempunyai darah adalah suci. Ini bermakna, sekiranya larva yang digunakan semasa proses rawatan tersebut mati, maka hukumnya adalah suci kerana komponen tubuh larva itu sendiri tidak mengandungi darah. Justeru, ia tidak menjejaskan kesucian ibadah seseorang pesakit yang menjalani Rawatan Terapi Larva tersebut.

Sehubungan itu, selaras dengan ketetapan-ketetapan tersebut Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa hukum menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy) bagi pesakit luka kronik adalah harus dan ibadah yang dilakukan oleh pesakit terutamanya solat ketika menjalani rawatan terapi ini adalah sah.

Mesyuarat juga memutuskan bahawa pesakit luka kronik yang menjalani rawatan ini dibolehkan bertayammum untuk mengangkat hadas besar atau hadas kecil bagi mengelakkan mudarat apabila terkena air pada anggota yang sakit.

 

 

 
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV)

Tarikh Keputusan: 
7 Jan, 2011
Keputusan: 
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bil  1/2011 yang bersidang pada 7 Januari 2011 telah membincangkan Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV). Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:
 
Mesyuarat bersetuju hukum pengambilan vaksin Human Papiloma Virus (HPV) adalah harus bagi mencegah penyakit kanser pangkal rahim. Penggunaannya hendaklah tidak bertentangan dengan syarak. Keharusan pengambilan vaksin ini adalah berdasarkan hajat dan darurah.  
 
 
 
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Hukum Menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy)Bagi Pesakit Luka Kronik

Tarikh Keputusan: 
14 Feb, 2012
Tarikh Mula Muzakarah: 
13 Feb, 2012
Tarikh Akhir Muzakarah: 
15 Feb, 2012
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-98

Keputusan

 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy) Bagi Pesakit Luka Kronik. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang bahkan menggalakkan umat Islam mencari penawar kepada penyakit yang dialami sepertimana sabda Rasulullah SAW ketika ditanya oleh para sahabat:

فَقَالُوْا: "يَا رَسُوْلَ اللهِ! هَلْ عَلَيْنَا جُنَاحٌ أَنْ لاَ نَتَدَاوَى؟" قَالَ: "تَدَاوَوْا، عِبَادَ اللهِ! فَإِنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلاَّ وَضَعَ مَعَهُ شِفَاءً. إِلاَّ الْهَرَمَ".
 رواه ابن ماجه
 
Maksudnya:
Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah berdosa jika kami tidak merawat (penyakit kami)?” Rasulullah bersabda, “Dapatkanlah rawatan wahai hamba-hamba Allah! Sesungguhnya Allah Yang Maha Suci tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan dijadikan bersama-samanya penawar, melainkan penyakit tua”. (Riwayat Ibn Majah)
 
Penegasan ini juga adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan bahawa : “Kemudaratan perlu dihilangkan” (الضرر يزال).
 
Muzakarah berpandangan bahawa asal sesuatu haiwan itu adalah suci melainkan babi dan anjing yang jelas hukumnya najis. Pandangan ini adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menetapkan bahawa:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةِ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيْلُ عَلَى التَّحْرِيْمِ
Maksudnya: “Hukum asal dalam semua perkara (kecuali ibadat dan hubungan lelaki dan perempuan) adalah harus dilakukan kecuali terdapat dalil yang menyatakannya sebagai haram.”
 
Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum bagi bangkai haiwan yang tidak mempunyai darah adalah suci. Ini bermakna, sekiranya larva yang digunakan semasa proses rawatan tersebut mati, maka hukumnya adalah suci kerana komponen tubuh larva itu sendiri tidak mengandungi darah. Justeru, ia tidak menjejaskan kesucian ibadah seseorang pesakit yang menjalani Rawatan Terapi Larva tersebut.
 
Sehubungan itu, selaras dengan ketetapan-ketetapan tersebut Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy) bagi pesakit luka kronik adalah harus dan ibadah yang dilakukan oleh pesakit terutamanya solat ketika menjalani rawatan terapi ini adalah sah.
 
Muzakarah juga memutuskan bahawa pesakit luka kronik yang menjalani rawatan ini dibolehkan bertayammum untuk mengangkat hadas besar atau hadas kecil bagi mengelakkan mudarat apabila terkena air pada anggota yang sakit. Sebagai panduan melaksanakan ibadah, pesakit boleh merujuk kepada Panduan Tayammum, Wuduk dan Solat Bagi Pesakit yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
 

Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo

Tarikh Keputusan: 
22 Apr, 2011
Tarikh Mula Muzakarah: 
20 Apr, 2011
Tarikh Akhir Muzakarah: 
22 Apr, 2011
Oleh: 
Muzakarah Kali Ke-94

Keputusan

 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
  1. Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dan meneliti keterangan, hujah-hujah serta pandangan yang dikemukakan, Muzakarah mengambil perhatian bahawa proses penghasilan Vaksin Menveo keluaran Syarikat Novartis Vaccines adalah sama sepertimana penghasilan Vaksin Mencevax keluaran Syarikat Glaxo Smith Kline (GSK).
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pada dasarnya hukum penggunaan vaksin Menveo adalah harus atas dasar dharurah sama seperti vaksin Mencevax yang telah diputuskan pada Muzakarah kali ke-53 bertarikh 27 November 2002 kerana sehingga kini masih belum ada mana-mana vaksin meningococcal meningitis yang dihasilkan 100% halal dan suci daripada awal hingga akhir proses penghasilannya.
     
  3. Walaubagaimanapun untuk maslahah umat Islam, Muzakarah berpandangan di antara kedua-dua vaksin ini, keutamaan adalah kepada vaksin Mencevex yang telah digunakan sekian lama dan telah terjamin dari segi keberkesanan dan keselamatan kepada pengguna. Manakala vaksin Menveo masih baru di pasaran dan pemonitoran kesan jangka panjang masih berterusan.
     
  4. Muzakarah juga berpandangan bahawa Sijil Halal tidak wajar diberikan kepada vaksin Menveo kerana penentuan harus adalah atas dasar dharurah dan proses penghasilannya tidak mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.
     
Keputusan Fatwa Kebangsaan lain berkaitan: 

Fatwa Status Puasa Bagi Pesakit Yang Menerima Rawatan Dialisis Peritonial

Tarikh Keputusan: 
18 Aug, 2009
Huraian Tajuk/Isu: 
Fatwa Status Puasa Bagi Pesakit Yang Menerima
Rawatan Dialisis Peritonial
Keputusan: 
 
 
Dimaklumkan bahawa perkara di atas telah dibincang dan dibahaskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 27 Syaaban 1430 bersamaan 18 Ogos 2009. setelah dilihat dengan penuh penelitian, maka keputusannya adalah seperti berikut :
 
بسم الله الرّحمن الرّحيم. الحمدلله ربّ العلمين والصّلاة والسّلام على اشرفالأنبياء والمرسلين وعلى ءآله وصحبه اجمعين.
 
Alhamdulillah fatwanya :
 
"  Sekiranya rawatan dialisis peritonial dilakukan pada siang hari ramadhan ( bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari ) maka ia membatalkan puasa kerana darah yang dimauskkan semula ke dalam badan pesakit ada dicampurakan unsur kimia dan unsur berzat iaitu larutan gula dan asid amino.
 
      Oleh itu, orang yang berpenyakit buah pinggang yang mana kehidupan hariannya sepanjang hayat bergantung pada penggunaan dialisis peritonial ( tidak boleh tidak ) maka gugurlah kewajipan berpuasa ke atas dirinya dan ia hanya diwajibkan membayar fidyah iaitu secupak beras untuk setiap hari yang ditinggalkan.
 
     Walaubagaimanapun jika sekiranya penggunaan dialisis peritonial hanya pada waktu tertentu sahaja ( pada keadaan kritikal ) dan kebetulan semasa itu ia berpuasa maka batal puasa tersebut dan ia wajib qada' semula puasa tersebut pada hari yang lain ".
 
 
والله أعلم بالصواب.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan

Hukum Menunaikan Haji Bagi Pesakit Yang Menjalani Rawatan Hemodialisis

Tarikh Keputusan: 
13 Jul, 2010
Keputusan: 
Mesyuarat sebulat suara menerima sighah keputusan seperti berikut:-
 
i. Pesakit yang menghidap penyakit kronik yang tidak ada harapan sembuh seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan ibadah haji;
 
ii. Pesakit kronik adalah wajib melaksanakan badal haji sekiranya berkemampuan daripada sudut kewangan; dan
 
iii. Sekiranya telah sembuh daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan ibadah haji jika berkemampuan.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
Nombor Rujukan: 
KERTAS MESYUARAT 3
Syndicate content